“Belum sedia kongsi” – Tular dakwaan sudah bersalin anak Opai, ini jawapan Fatin Afeefa

“Belum sedia kongsi” – Tular dakwaan sudah bersalin anak Opai, ini jawapan Fatin Afeefa

 

Pelakon dan penyanyi Fatin Afeefa, 29, selesa memilih mengunci mulutnya daripada menjawab dakwaan dia kini sudah melahirkan cahaya mata ketiga hasil perkahwinan dengan suami baharunya yang juga pempengaruh sensasi, Aliff Awang.

Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin bagaimanapun tidak mengiyakan atau menidakkan dakwaan itu dan meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik saja.

“Doakan yang baik-baik. InsyaAllah semoga yang baik-baik juga untuk saya dan keluarga. Saya belum bersedia untuk berkongsi mengenai perkara itu (sudah bersalin).

“Tetapi, insyaAllah saya akan kongsikan dalam masa terdekat ini. Tunggulah, nanti saya akan beri kejutan,” katanya ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan di Sunway Velocity di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fatin berkata dia sekarang memilih untuk tidak banyak berkongsi mengenai hal kehidupan rumah tangga dan keluarganya di media sosial kerana ingin menjalani hidup dengan tenang.

Terdahulu, Fatin mendirikan rumah tangga dengan Aliff Awang atau Opai pada Disember 2022 dalam sebuh majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Subang Jaya.

Sebelum itu, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon, Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun sah bercerai 30 Mei 2017.

Hasil perkahwinan kedua itu, pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ivy Herra Sophia, 7. Bahkan, Fatin juga mempunyai seorang anak lelaki, Adam Aisy Arrian daripada perkahwinan pertamanya.