Bella Astillah mahu fokus kes cerai, ‘tak layan’ permohonan maaf Ruhainies

Bella Astillah mahu fokus kes cerai, ‘tak layan’ permohonan maaf Ruhainies

 

“MINTA maaf, buat masa ini saya mahu fokus kes di mahkamah.”

Itu respons pelakon Bella Astillah yang enggan mengulas mengenai permohonan maaf secara terbuka dilakukan Ruhainies terhadapnya baru-baru ini.

Menurut Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, tumpuannya ketika ini hanya pada kerjaya dan perbicaraan di Mahkamah Syariah berkaitan kes tuntutan cerai terhadap suaminya, Aliff Aziz.

“Alhamdulillah, saya okey dan minta maaf sebab buat masa sekarang saya hendak fokus kepada perbicaraan di Mahkamah Syariah.”

“Jadi, saya minta doakan yang baik-baik,” katanya.

Mengulas tentang hubungan dengan kekasih gelap suaminya iaitu Sarah Yasmine, Bella tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberi sebarang penjelasan lanjut.

“Ketika ini, saya memang hanya fokus pada kerja sahaja. Saya tidak tahu tentang kemas kini (hantaran terbaharu Sarah dalam Instagram). Saya tidak ada komen mengenai itu,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia turut menafikan dikenakan perintah mahkamah yang menuntutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi melanda ketika ini.

“Saya tidak dapat (perintah mahkamah) tetapi semuanya bergantung kepada nasihat daripada peguam.”

“Sekarang, saya fokus kepada kerjaya. Selebihnya akan dibawa ke mahkamah kerana itu yang terbaik,” ujarnya.

Sebelum ini, Ruhainies tampil membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Bella melalui perkongsian InstaStory dan temu bual dengan sebuah program hiburan.

Ruhainies juga menyuarakan hasrat untuk bersemuka dengan Bella bagi menjernihkan hubungan antara mereka selain berharap semua pihak dapat menjalani kehidupan dengan gembira semula.

Terdahulu, kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella kembali hangat apabila bekas juara Gegar Vaganza 9 itu ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.

Rentetan itu, Bella memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur di sini pada 11 Mac lalu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna kini berusia empat tahun.