“Beli benih RM1” – Suri rumah tanam padi dalam pasu tak sangka dapat perhatian Tengku Ampuan Pahang

“Beli benih RM1” – Suri rumah tanam padi dalam pasu tak sangka dapat perhatian Tengku Ampuan Pahang

 

Bukan biasa-biasa! Seorang suri rumah di Taman Lavender Height, Seremban membuktikan penanaman padi melalui pasu juga boleh membuahkan hasil.

Bermula dengan sekadar suka-suka, Siti Aai Shah Rahman Shah, 33, tidak menyangka percubaannya menanam padi menyebabkan dia sehingga kini mempunyai 50 pasu padi sawah dan sembilan pasu padi huma.

Lebih menggembirakannya apabila padi tersebut kini sudah boleh dituai selepas empat bulan ditanam dan dalam proses untuk dijadikan beras.

Malah perkongsian Siti Aai Shah di aplikasi TikTok mengenai perjalanannya menjadi ‘pesawah moden’ turut menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang berhasrat mempelajarinya.

“Lagi pun saya tengok di laman sosial, konsep tanaman padi di dalam pasu ini sudah biasa di Indonesia dan dari situ saya terfikir untuk mencubanya.

“Jadi saya beli benih padi di platform e-dagang dengan harga RM1 untuk satu pek 10 gram,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ujarnya, selepas empat hari menanam benih tersebut, dia teruja apabila melihat sudah ada pertumbuhan.

Katanya, apabila masuk hari ke-20 pokok padi sudah jelas kelihatan dan dari situ dia mendapati tanaman tersebut tidak terlalu sukar penjagaannya.

“Paling penting perlu pastikan sumber air mencukupi dan gunakan baja bersesuaian. Untuk baja, saya guna baja kopi dan ia nampaknya sesuai.

“Jadi sejak hari pertama tanam, saya akan buat catatan dan masuk 90 hari, ia dah mula menguning dan sekarang sudah boleh dituai,” katanya.

Ujar Siti Aai Shah, dia kini menunggu mesin padinya sampai bagi membolehkan padi yang telah dituai diproses menjadi beras.

Dia juga tidak menyangka ramai yang berminat untuk belajar cara penanaman padi dengannya termasuk Tunku Azizah selepas berkongsi di platform media sosial.

“Tujuan saya berkongsi tentang teknik penanaman padi dalam pasu adalah untuk membuka minda masyarakat yang usahakannya tidaklah sesukar mana, malah kosnya juga tidak tinggi.

“Manalah tahu ilmu ini boleh jadi keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Selain tanaman padi, bekas usahawan ini turut menanam pokok strawberi yang kini menjadi sumber pendapatan sampingannya apabila mendapat permintaan.