Belasah rakan, 13 pelajar sekolah dah kena ‘angkut’

Belasah rakan, 13 pelajar sekolah dah kena ‘angkut’

 

Polis menahan 13 pelajar lelaki hari ini, bagi membantu siasatan kes pergaduhan di dalam kelas di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua suspek berusia 16 tahun adalah pelajar Tingkatan Empat sekolah terbabit.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa pagi tadi, seramai 12 suspek ditahan pada 12.30 tengah hari, manakala seorang lagi ditahan kira-kira jam 3 petang.

“Ketika ini, rakaman percakapan ke atas semua suspek sedang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan kejadian pergaduhan itu selepas mangsa yang berusia 16 tahun tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat memaparkan tindakan sekumpulan pelajar mengepung pelajar lain sebelum mereka beramai-ramai bertindak menumbuk, menendang dan menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum memijaknya beramai-ramai.

Malah mangsa yang terbaring di lantai kemudian turut dihentak dengan meja oleh salah seorang pelajar terbabit.

 

*Kredit pic: MMM Garage