Belanjawan Perak 2021: Perkhidmatan Bas Rakyat RM1

Belanjawan Perak 2021: Perkhidmatan Bas Rakyat RM1

Perak akan memperluaskan perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM 1 ke Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar mulai tahun hadapan.

Menurut Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, bagi tujuan tersebut kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.0 juta.

“Dua daerah ini dipilih memandangkan terdapat keperluan yang tinggi dari kalangan masyarakat Orang Asli untuk perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Jelasnya lagi kerajaan negeri telah memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti itu di Daerah Manjung sejak tahun 2019.

Pada Julai lalu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun mengumumkan kerajaan negeri mahu memperluaskan perkhidmatan bas itu ke dua daerah berkenaan.

Menurutnya, jika perkhidmatan Bas Rakyat RM 1 itu dilaksanakan di Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar ia dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 penduduk.

Sumber: https://www.suaraperak.com/perkhidmatan-bas-rm1-diperluaskan-ke-batang-padang-dan-kuala-kangsar/