Belanjawan 2021: Menteri Besar Perak harap bantuan sampai ke golongan sasar

Belanjawan 2021: Menteri Besar Perak harap bantuan sampai ke golongan sasar

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menyifatkan Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat seperti yang diharapkan dan kini tumpuan perlu dihalakan pada langkah kerajaan untuk memastikan setiap bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

“Saya berpandangan Belanjawan 2021 kerajaan persekutuan adalah belanjawan yang sangat baik. Ia membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat dan rakyat bakal menerima manfaat seperti yang diharapkan.

“Sekarang adalah masa kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan intipati belanjawan ini. Amat penting bagi kerajaan memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang ini dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kerajaan pada Februari lalu.

Belanjawan itu menjadi tumpuan khusus kerana ia dibentangkan ketika kerajaan pimpinan Perdanan Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak mempunyai majoriti dan negara pula sedang berdepan krisis Covid-19.

Dalam pada itu, Dewan Perdagangan & Industri Asean (DPIA) mahu usaha memperkasakan perniagaan golongan bumiputera diberi tumpuan secara holistik di seluruh negara.

Presiden DPIA, Sohaimi Shahadan berkata, usaha ataupun peruntukan kerajaan itu tidak boleh dimonopoli oleh golongan tertentu saja.

“Dana yang diperuntukkan kerajaan harus sampai kepada kumpulan sasar seperti yang diharapkan.

“Kita tidak mahu hanya golongan tertentu saja yang mendapat manfaat daripada apa diumumkan kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengambil contoh peruntukan untuk peniaga, agensi pelaksana Tekun dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) harus menguruskan dana sebanyak RM510 juta dengan sebaik mungkin.

Badan itu katanya, harus mengurangkan birokrasi dalam agihan kepada peniaga.

Katanya, kedua agensi itu harus memudahkan urusan permohonan dikemukakan pemohon untuk menerima dana berkenaan.

Sumber: Malaysiakini