Bekas timbalan menteri bergelar Datuk Seri dipanggil beri keterangan kes tular
Bekas timbalan menteri bergelar Datuk Seri dan beberapa individu akan dipanggil untuk diambil keterangan selepas tularnya video kononnya polis menghalang perarakan pengebumian mayat di Jalan Lintang di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, penahanan rombongan itu bukanlah menghalang perarakan kenderaan sebaliknya hanya memberi nasihat setelah didapati melanggar peraturan jalan raya.
Menurutnya, tiada sebarang saman dikeluarkan dalam insiden itu.
“Namun, apa yang ditularkan di media sosial itu tidak benar sama sekali.
“Polis akan panggil beberapa orang yang mendakwa VIP untuk beri keterangan termasuk media yang telah mengeluarkan berita tidak sahih itu,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini pada Selasa.
Mohd Khaizam berkata, kejadian sekitar jam 2.30 petang itu berlaku apabila pasukan rondaan cegah jenayah mendapati aliran trafik di lampu isyarat Jalan Lintang sesak.
“Hasil pemeriksaan mendapati anggota agensi sukarelawan telah menghentikan dan melencongkan kenderaan awam. Pegawai polis kemudiannya memberi nasihat kepada anggota agensi sukarelawan itu agar tidak mengambil tindakan sendiri.
“Selain itu, polis menasihatkan agar rombongan berkenaan mematuhi peraturan kerana kenderaan terlibat telah melanggar dua lampu isyarat berwarna merah,” katanya.
Katanya, tindakan mereka membuat provokasi selepas ditahan adalah tindakan yang tidak bijak.
“Ini bukan soal halang atau tidak menghormati, cuma tahan untuk nasihat mereka agar patuh dan akur pada peraturan. Tiada jadi masalah sekiranya berhenti sekejap di lampu isyarat apabila lampu bertukar merah.
“Agensi sukarelawan juga tiada kuasa untuk mengubah laluan atau menghentikan kenderaan melainkan polis, trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sekiranya perlu konvoi boleh memaklumkan kepada polis untuk jaga di lampu isyarat bagi melancarkan perjalanan dan bukannya mengambil tindakan sendiri,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, dalam kejadian itu, polis tidak boleh dipersalahkan dalam menggalas amanah dan tugas untuk kesejahteraan masyarakat.
Beberapa gambar dan video berdurasi 2 minit 19 saat tular di media sosial memaparkan provokasi dilakukan beberapa individu termasuk seorang bekas timbalan menteri yang berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis. – SH