Bekas Pengerusi Prasarana dikompaun RM1,500

Bekas Pengerusi Prasarana dikompaun RM1,500

BEKAS Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka semasa mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan melibatkan tren di stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pada 8 Jun 2021, kertas siasatan kes perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tajuddin telah dikembalikan dari pejabat jabatan Peguam Negara, Putrajaya dengan keputusan beliau dikenakan kompaun tersebut.

Katanya, Tajuddin telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021

“Kegagalan beliau sebagaimana yang disyaratkan dalam SOP PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“justeru, pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, menerusi laporan media, Tajuddin hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup muka pada sidang media khas Prasarana susulan kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) sehari sebelum itu.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut berhubung pelanggaran SOP PKP.

Sumber: Malaysiapost