Bekas pembantu tadbir kewangan didakwa 13 pertuduhan pecah amanah

Bekas pembantu tadbir kewangan didakwa 13 pertuduhan pecah amanah

Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Pejabat Kesihatan Batang Padang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM11,535 empat tahun lalu.

Tertuduh, Nuhairi Idris, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang hasil kutipan harian Klinik Kesihatan Sungkai berjumlah RM11,535.

Dia didakwa melakukan kesemua 13 kesalahan itu di Unit Hasil Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang di Tapah antara 25 Januari hingga 20 Jun 2017.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohd. Tanusi. – KO