Bekas Panglima ATM diumum calon BN di PRK Kemaman

Bekas Panglima ATM diumum calon BN di PRK Kemaman

 

Barisan Nasional (BN) mengesahkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi BN di Parlimen Kemaman.

“Dewan Tertinggi BN dan kepemimpinan UMNO dan pengerusi perhubungan sudah membuat kesepakatan bahawa pada kali ini kita akan mengemukakan tokoh luar daripada kepemimpinan UMNO untuk diketengahkan sebagai calon BN di Kemaman.

“Kita sudah melihat latar belakang di Kemaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, biarpun BN tidak cukup kira-kira 27,000 undi untuk menduduki kerusi Kemaman, namun kita merasakan kerusi itu bukan kubu kuat PAS tapi UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penampilan calon langsung khususnya bagi PRK Kemaman kali ini bukan pertama kali diputuskan BN.

“Kita pernah letakkan calon langsung di Parlimen Cameron Highlands iaitu Datuk Ramli Md Noor. Saya yakin kerana beliau (Raja Affandi) dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau di Kemaman, (maka) tiba waktu sesuai letakkan calon yang UMNO absahkan ini untuk wakilkan rakyat Kemaman di Dewan Rakyat nanti.

“(Dari segi) penerimaan jentera belum dibuat kajian, tapi kita yakin daripada maklum balas diterima, pengundi Kemaman akan beri dokongan kepada beliau,” katanya.

Beliau juga berkata, gerak kerja kempen BN bagi PRK Kemaman nanti akan turut disertai jentera dari parti Kerajaan Perpaduan yang lain.

“Saya tidak berhasrat berkongsi strategi dengan media. Kita (parti dalam Kerajaan Perpaduan) sudah bersiap siaga sepenuhnya. Kita penuh yakin, namun bantuan media akan menambah keyakinan kita,” katanya.

PROFIL CALON BN PRK PARLIMEN KEMAMAN

Nama: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

Umur: 66 tahun

Tarikh lahir: 20 Jun 1957

Tempat lahir: Kampung Raja Besut, Terengganu (dibesarkan di Kemaman)

Pendidikan: Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia, dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan

Kerjaya:

• Mengikuti latihan sebagai bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson, seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi, sebagai Pegawai Kadet.

• Ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 25 Mei 1977.

• Berpengalaman memegang pelbagai jawatan sebagai Pemerintah dan Pegawai Staf dalam organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

• Dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral pada 2008 dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat, seterusnya sebagai Ketua Staf Markas ATM mulai 31 Oktober 2009

• Dinaikkan ke pangkat Jeneral dan memegang jawatan Panglima Tentera Darat mulai 15 Jun 2013

• Dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016

Isteri: Puan Sri Norlida Abdul Mubin

Anak: 4 (3 perempuan dan 1 lelaki)