Bekas imam Masjidil Haram dipenjara kerana kritik kerajaan Arab Saudi

Bekas imam Masjidil Haram dipenjara kerana kritik kerajaan Arab Saudi

 

Bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka, Sheikh Saleh Al Talib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Rayuan Arab Saudi.

Pihak berkuasa Saudi menahan Sheikh Saleh pada Ogos 2018, selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengandungi kritikan terhadap badan kerajaan yang menyelia industri hiburan di negara itu.

Beliau dipercayai tidak bersetuju dengan penganjuran konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada norma agama dan budaya.

“Mahkamah Rayuan Jenayah Khusus di Riyadh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Imam Masjidil Haram, Syeikh Saleh Al Talib.

“Ini juga sekali gus membatalkan keputusan pembebasan terhadapnya,” kata Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (Dawn) melalui Twitter, semalam.

Penahanan Sheikh Saleh dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, meneruskan usaha reformasi masyarakat dengan menahan ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan.

Sheikh Saleh mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia, dengan ribuan menonton khutbah dan bacaan al-Qurannya di YouTube.

Menurut portal Siasat, Syeikh Saleh dilahirkan pada 23 Januari 1974, dan keluarganya kembali ke Huwtat Bani Taimi, dari Hawtat Bani Tamim, iaitu keluarga di Semenanjung Arab yang terkenal dengan kecemerlangannya dalam sains, kehakiman, sains Syariah dan al-Quran.

Difahamkan, beliau bekerja sebagai hakim di mahkamah tinggi di Riyadh selama tiga tahun, dan pernah bertugas sebagai hakim di Mahkamah Agung di Makkah sehingga penahanannya empat tahun lalu.