Berbeza dengan biawak spesis lain, dhab adalah spesis yang halal dimakan umat Islam dan biasanya menjadi makanan penduduk di negara Asia Barat khususnya padang pasir seperti Mesir dan Arab Saudi.
Selain itu, dhab juga dipercayai berkhasiat dari segi kesihatan.
Penternak dhab, Azhar Mohamad Shafawi, 49, berkata, minat memelihara haiwan itu bermula ketika masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir pada awal 90-an bagi menjana pendapatan untuk membiaya pengajiannya ketika itu melalui penghasilan minyak dhab yang dipelajari dari rakan sekuliah.
Katanya, ketika itu masih tiada peruntukan undang-undang yang menghalang daripada membawa haiwan peliharaan dari negara luar masuk ke Malaysia menaiki pesawat komersial biarpun perlu mendapatkan permit untuk memeliharanya.
Beliau berkata, justeru kesukaran mendapatkan haiwan itu di negara ini sehingga sekarang, selain tempoh tumbesarannya yang sangat panjang hingga mencecah ratusan tahun menjadikan harga seekor dhab yang sudah matang mencecah RM5,000 seekor.
“Bermula dengan hanya sepasang induk jantan dan betina, bilangan dhab yang saya ternak kian bercambah. Walaupun tempoh tumbesarannya agak lambat, seekor dhab betina yang mencapai usia matang iaitu tujuh tahun mampu menghasilkan 20 hingga 70 telur.
“Menternaknya juga tidaklah begitu sukar memandangkan ia hanya memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air serta kekacang sebagai sumber protein selain daya ketahanannya yang tinggi khususnya apabila cuaca panas dan kering.
“Haiwan pemangsanya juga tidak banyak serta dapat hidup bersama haiwan berbisa seperti kala jengking dan ular memandangkan haiwan pemangsa dhab yang diketahui hanyalah burung helang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Expo, Kamunting, di sini, hari ini.
Katanya lagi, bagaimanapun kesilapan menyesuaikan keadaan persekitaran dhab yang diternak boleh mengakibatkan haiwan itu mengalami penyakit yang cepat berjangkit, seperti air hujan yang membasahi pasir bakal menyebabkan kaki haiwan itu luka dan berkudis.
Bapa tiga anak itu berkata, setiap hari beliau memperuntukkan RM50 untuk makanan haiwan itu yang terdiri dari sayur terutamanya kubis, sawi, daun salad dan kacang panjang termasuk kekacang seperti dal sebagai sumber protein.
“Saya cuba meniru suasana seakan-akan di habitat asalnya di negara Asia Barat dengan meletakkan pasir di kandang mereka selain membuat banyak lubang daripada gegelung PVC (Polyvinyl Chloride) sebagai sarang untuk mereka ‘berteduh’ dan bersembunyi,” katanya.
Melihat potensi komersial yang tinggi, Azhar berkata beliau sanggup meninggalkan pekerjaannya sebelum ini sebagai guru agama sekolah kerajaan pada tahun 1998 bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha itu.
Dibantu enam pekerja, Azhar berkata sehingga kini dia sudah mempunyai kira-kira 100 ejen yang memasarkan produk yang dihasilkan di bengkel yang juga terletak dalam perkarangan rumahnya itu, membabitkan minyak urut, pil kapsul pati dhab, serta serbuk kopi campuran pati dhab.
“Bidang penternakan (dhab) ini pada saya sungguh berbaloi berbanding pekerjaan saya sebelum ini. Tambahan pula setahu saya, bilangan pengusaha atau penternak dhab di negara ini sangat sedikit yang sekali gus menyebabkan permintaan terhadapnya begitu tinggi,” katanya. – BH