Bekalan terhad, pengedar dadah ambil kesempatan jual harga tinggi

Bekalan terhad, pengedar dadah ambil kesempatan jual harga tinggi

Kesukaran mendapatkan bekalan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands dijadikan kesempatan untuk pengedar dadah, menjual barang terlarang itu dengan harga tinggi bagi memperoleh keuntungan berganda.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Ashari Abu Samah berkata, hasil risikan dan maklumat awam, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah itu menyerbu sebuah rumah sewa seorang suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun di Ringlet di sini, kira-kira 12 tengah hari pada Isnin lalu.

“Polis menemukan 61 paket pastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu, dengan anggaran berat 117.87 gram (g) bernilai RM17,550,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ditahan, suspek seorang penganggur dan mengedar dadah secara bersendirian, sedang membungkus dadah itu disyaki untuk dijual kepada pelanggan tetap di sekitar kawasan tanah tinggi ini, khususnya di Ringlet serta Tanah Rata.

Katanya siasatan awal mendapati dadah itu dijual pada harga RM100 bagi satu tiub yang beratnya antara 0.5g hingga 1g, berbanding harga pasaran luar hanya RM40 hingga RM50 bagi satu tiub.

Ashari berkata suspek yang berasal dari Slim River, Perak memperoleh bekalan dadah dari Ipoh atau Tapah, sebelum dibawa ke sini dan mengakui risiko tinggi sebagai alasan untuk menjualnya dengan harga tinggi kepada penagih yang terdesak, sejak kira-kira lima bulan lalu.

“Modus operandinya adalah suspek yang beroperasi menerima pesanan melalui panggilan telefon atau aplikasi Whatsapp daripada pelanggan tetap dan tertentu, dengan berhati-hati sebelum menghantarnya dengan kaedah pembayaran tunai semasa penghantaran,” katanya.

Beliau berkata suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu, direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Ashari berkata tahap pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh penduduk di Cameron Highlands setakat ini melebihi 95 peratus, dan hanya 12 kompaun dikeluarkan atas pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP), sejak 22 Januari lalu.

Katanya polis turut mengadakan dua sekatan jalan raya di sempadan Perak dan Pahang untuk ke Cameron Highlands, iaitu di Simpang Pulai serta Tapah. – HM