“Begitulah kalau sudah sayang” – Doktor gigi selamatkan kucing peliharaan ketika banjir raih pujian netizen

“Begitulah kalau sudah sayang” – Doktor gigi selamatkan kucing peliharaan ketika banjir raih pujian netizen

 

Gambar seorang doktor gigi, Dr Phoebe Ann yang berusia 30 tahun memeluk empat kucing peliharaan yang diselamatkan dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Kolopis, Sabah 30 Jun lalu tular di media sosial.

Memetik Harian Metro gambar Dr Phoebe Ann memeluk kucing kesayangan dinamakan Miau, Tatwo, Lico dan Latte yang ketakutan selepas terperangkap dalam banjir meruntun hati netizen yang turut bersimpati dengan situasi itu.

Mengimbas detik cemas itu, Dr Phoebe Ann berkata, dia nekad meredah banjir bersama bapa, Zepher Andrew demi empat kucing yang dipelihara sejak tiga tahun lalu kerana baginya, haiwan itu umpama ahli keluarga sendiri.

“Ketika di dalam bot, empat kucing saya masih trauma (kerana terperangkap dalam banjir di rumah) malah turut mencakar saya, tetapi selepas dipeluk, barulah kesemuanya tenang,” kata Dr Phoebe Ann Zepher Andrew Lucas.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pada mulanya, air di kawasan rumahnya setinggi buku lali sebelum dia dan keluarga segera memindahkan kereta ke kawasan lebih tinggi, jam 3 petang.

“Ketika dalam perjalanan ke rumah, saya terkejut kerana air sudah separas lutut.

“Selepas hantar mummy (Ivy Benjamin) ke rumah jiran di kawasan lebih tinggi, saya dan daddy terus balik ke rumah untuk mencari kucing,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati kucing berkenaan berlindung di tempat tinggi dan berada dalam ketakutan.

“Saya bersyukur kerana bukan saja keluarga, malah keempat-empat kucing juga selamat,” katanya yang bertugas di sebuah klinik swasta.