Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan

Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan

Operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, paling penting prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan akan ditentukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing.

Selain itu jelasnya, kerajaan turut membenarkan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara dengan jumlah kehadiran jemaah tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri.

“Apa yang penting adalah SOP perlu dipatuhi sepenuhnya, antaranya seperti lokasi di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala, pintu masuk dan keluar berbeza, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk serta kawalan jumlah pengunjung.

“Selain itu waktu operasi bazar Ramadan dari jam 3 petang sehingga 8 malam dan bazar Aidilfitri dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya semasa sidang media pada Selasa.

Dalam pada itu kata Ismail, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) merekodkan seramai 5.633 juta orang sudah mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga Isnin.

Katanya, bagi mudahkan cara, JKJAV telah memperkenalkan lima kaedah pendaftaran iaitu aplikasi MySejahtera, talian Hotline 1800-888-828, laman sesawang vaksincovid.gov.my; atau hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta.

Selain itu, aplikasi juga boleh dibuat melalui program bantuan bagi penduduk luar bandar dan pedalaman oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – AA