Bayi lapan bulan meninggal dunia di taska disahkan akibat lemas

Bayi lapan bulan meninggal dunia di taska disahkan akibat lemas

 

Bayi 8 bulan meninggal di taska disahkan akibat lemas selepas bedah siasat dilakukan ke atas mangsa semalam.

Memetik laporan dari Kosmo! Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah  memaklumkan yang hasil keputusan bedah siasat ke atas  Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri diperolehi daripada Unit Forensik Hospital Alor Gajah yang mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas.

“Proses bedah dilakukan malam tadi bermula pukul 7.30 malam sehingga 10.45 malam dan punca kematian disahkan kerana lemas,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada sebarang kecederaan lain ditemui di badan bayi berkenaan dan proses bedah siasat juga selesai kira-kira jam 10.45 malam.

“Tiada kesan kecederaan lain ditemui pada tubuh badan bayi berkenaan,” katanya.

Pagi tadi, pengasuh wanita berusia 34 tahun telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas ditahan kira-kira jam 3 petang semalam kerana disyaki menjadi punca kematian Muhammad Al Fateh Amri.

Difahamkan, tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan dari Hospital Alor Gajah memaklumkan telah menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mengikut laporan dibuat, mangsa telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada pukul 7.05 pagi tadi (semalam), namun pada pukul 9.05 pagi, pihak taman asuhan itu menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh badan bayi berkenaan dalam keadaan biru,” ujar Ashari.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mejar Ir. Ts, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39 memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya mungkin berpunca daripada tindakan pengasuh tersebut yang melakukan kekerasan seperti membedung mangsa, menyumbat botol susu dan menekupnya dengan bantal.

Perkara berkenaan terbongkar selepas dia melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska tersebut bersama pihak polis.