“Macam bayar installment rumah” – Wanita merungut kedai makan caj mahal tapi makanan tak sedap
Bila pergi ke lokasi pelancongan seperti Port Dickson, kita biasanya akan menikmati makanan yang ditawarkan di sekitarnya walaupun boleh agak harganya yang mahal.
Namun begitu, harga yang ditawarkan perlulah setara dengan rasanya supaya apa yang dibayar terasa berbaloi untuk pengunjung.
Baru-baru ini, seorang wanita merungut yang dia perlu membayar sejumlah wang yang besar untuk makanan yang dipesan namun rasanya sangat menghampakan di sebuah restoran di Port Dickson.
“Ni review sakit hati sebab makanan tak sedap, harga pulak rasa macam bayar installment rumah,” ciap sebuah akaun bernama minaazaini.
Bercerita lanjut lagi, dia berkata telah memesan pari bakar berharga RM93.50 yang mana datang dalam saiz medium.
Alangkah malangnya dengan harga sebegitu, pari bakar berkenaan datang dalam keadaan terlebih masak sehinggakan hangus dan keras. Sambal pula terasa kosong menjadikan ia satu hidangan yang gagal.
Pesanan lain yang dibuat adalah kerang bakar untuk dua pinggan berharga RM63.76 tetapi masih terasa seperti kerang sambal biasa sahaja.
Siakap stim yang dipesan juga tiada sebarang rasa istimewa. Dia hanya memuji hidangan sotong goreng tepung kerana rasanya yang boleh diterima tetapi mendakwa sotongnya melekat pada tekak kerana sukar ditelan.
Dari segi servis pula, tiada bezanya apabila nasi dah habis namun lauk pula masih tidak dihidangkan lagi. Tambanya lagi, walaupun kedai terkenal itu memiliki jumlah pekerja yang ramai, masing-masing gagal berfungsi dan memberi servis yang bagus kepada pengunjung.
Apabila disoal mengapa harga terlalu mahal, pekerja dengan selambanya memberi respons ia sebagai satu perkara biasa di situ.
Tidak sekadar itu sahaja, resit yang diberikan hanya terisi dengan perkataan depo yang mana menyukarkan pihak pelanggan untuk memeriksa harga pesanan bagi setiap makanan dan minuman di restoran tersebut.
Atmosfera kedai pula tiada yang ‘wow’ menurut wanita itu dan berharap kualiti makanan dan servis dapat diperbaiki pada masa akan datang.
Dia merasa kesal kedai ikan bakar yang tular ini rupanya hanyal sekadar hype dan bukannya kerana kualiti dan rasa makanan yang ditawarkan itu bagus.
Menjengah ke ruangan komentar, ramai yang terkejut dengan pendedahan itu kerana merasakan ramai pelanggan pasti tertipu dek kerana kedai ikan bakar itu sering menjadi sebutan tetapi penawaran yang biasa-biasa sahaja.
Dalam pada itu, ada juga berkongsi lokasi yang lebih berbaloi sebagai rujukan untuk pengunjung lain merasai sendiri lauk lokal dengan harga yang lebih mampu milik.