“Bayar di balai RM300, bayar sekarang RM100” – Tular video anggota trafik didakwa minta duit pelancong UK

“Bayar di balai RM300, bayar sekarang RM100” – Tular video anggota trafik didakwa minta duit pelancong UK

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat sebuah video tular di media sosial sejak Ahad berhubung isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap seorang pemandu warga asing.

Ia susulan rakaman video berdurasi 50 saat, dimuat naik di laman X @doktorrezz yang memaparkan pasangan pelancong dari United Kingdom disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Pasangan pelancong yang menaiki sebuah van telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Dalam video itu, seorang anggota polis trafik memberitahu pasangan terbabit bahawa van terbabit dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya, jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik terbabit.

Dalam visual terbabit, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

 

Anggota polis terbabit kelihatan mengambil wang berkenaan tanpa memberikan sebarang surat saman.

Sementara itu seorang pengguna media sosial, Asyraf Ibrahim berharap PDRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap anggota berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri memaklumkan pihaknya sedang menyiasat video tular berkenaan.