Bawa jemaah umrah tak vaksin, Menteri Agama selar Ustaz Abu Syafiq

Bawa jemaah umrah tak vaksin, Menteri Agama selar Ustaz Abu Syafiq

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyelar tindakan pendakwah bebas, Abu Syafiq membawa jemaah yang tidak divaksinasi menunaikan umrah.

Beliau menegaskan, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kesal perkara itu berlaku sedangkan syarat sudah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan banjir kepada kakitangan yang terlibat pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengakuan pendakwah tersebut yang membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi.

Idris berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas terhadap Abu Syafiq bagi memastikan tindakan sama tidak berulang sekali gus memelihara nama baik Malaysia di mata dunia.

“Saya harap mereka siasat bagaimana jemaah tidak divaksin boleh lolos,” katanya.

Ditanya adakah pihaknya akan memanggil Abu Syafiq untuk penjelasan, Idris berkata pihaknya bersedia untuk menasihatinya.

“Iya. Mungkin kita boleh panggil dia untuk tanya kenapa buat begitu,” katanya.

Sabtu lalu, Abu Syafiq menerusi Instagramnya memberitahu dia turut tidak menerima vaksin MM.

Difahamkan MM merujuk kepada vaksin Meningococcal dan Meningitis yang merupakan syarat ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah umrah di seluruh dunia.

Bagaimanapun dalam hantaran terbaharunya, Abu Syafiq mendakwa kedua-dua vaksin tersebut tidak lagi menjadi syarat untuk menunaikan umrah.

“Vaksin itu sudah pupus. Mungkin terlalu banyak ‘telan’ jenis vaksin otak mudah lupa kot,” tulisnya.