Batuk depan polis, lelaki dipenjara empat bulan

Batuk depan polis, lelaki dipenjara empat bulan

Mahkamah Agung di Denmark baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara selama empat bulan ke atas seorang lelaki kerana batuk ke arah dua anggota polis sambil menjerit `korona’ dalam satu pemeriksaan trafik pada Mac tahun lalu.

Memetik laporan Reuters, insiden itu berlaku ketika Denmark melaksanakan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19, menyebabkan defendan ditahan atas tuduhan berkelakuan mengancam meskipun dia kemudian diuji negatif Covid-19.

Pada mulanya, sebuah mahkamah tempatan membebaskan lelaki itu daripada tuduhan namun dia kemudian disabitkan kesalahan di Mahkamah Tinggi Barat Denmark.

Ketika mengemukakan rayuan terhadap sabitan itu di Mahkamah Agung, pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara selama tiga hingga lima bulan.

Beberapa kes serupa juga dilaporkan berlaku di Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Berdasarkan tinjauan dijalankan The Telegraph pada April tahun lalu, polis Britain mendaftarkan kira-kira 200 kes kejadian meludah atau batuk ke arah pegawai dalam tempoh seminggu. – UO