Baru tahu, rupanya Taiping pernah dicadangkan sebagai ibu negara Malaysia

Baru tahu, rupanya Taiping pernah dicadangkan sebagai ibu negara Malaysia

 

Umum mengetahui, Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia selepas Tanah Melayu mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Maka tidak hairanlah sekiranya hari ini terdapat pelbagai sektor pekerjaan di Kuala Lumpur selain bandar tersebut juga kelihatan pesat membangun dengan deretan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas, The Exchange 106 dan Merdeka 118.

Pun begitu, masih ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa bandar Taiping yang terletak di Perak pernah dicadangkan sebagai ibu negara pada suatu ketika dahulu selepas kemerdekaan.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di saluran YouTube ML Studios, perkataan Taiping berasal daripada bahasa Cina (Tai-Peng) yang bermaksud ‘keamanan yang abadi’.

Sebagai info, Taiping juga pernah menjadi ibu negeri Perak sebelum ditukarkan kepada Ipoh yang ramai ketahui sekarang.

Taiping yang terletak di utara Perak itu mula membangun dengan pesat sekitar tahun 1880 apabila kerajaan negeri serta penjajah British melihat kawasan tersebut berpotensi untuk dimajukan kerana kaya dengan sumber mineral iaitu biji timah.

Susulan itu, kedua-dua pihak berkenaan mula memberi fokus yang lebih kepada Taiping berbanding kawasan yang lain pada ketika itu.

Pihak British juga telah membina pelbagai infrastruktur yang maju di Taiping selain menjadi pusat pentadbiran buat negeri itu.

Bayangkan, landasan keretapi, hospital, penjara serta muzium yang pertama ada di Malaysia semuanya terletak di Taiping.

Bagaimanapun, sekitar tahun 1927, Taiping mula tidak diberikan tumpuan selepas pihak British melihat bandar Ipoh pula mempunyai potensi untuk membangun sekali gus membawa kepada cadangan untuk menukarkan ibu negeri Perak.

Cadangan yang dilakukan oleh Pesuruhjaya British, Sir Hugh Clifford itu tidak dipersetujui sesetengah pihak terutamanya golongan atasan dan profesional yang telah mempunyai perniagaan serta penempatan di sana.

Difahamkan, bantahan terhadap cadangan terbabit dilakukan kerana penukaran ibu negeri Perak akan memberi kesan terhadap sosio ekonomi di Taiping.

Namun segala bantahan yang dilakukan itu tidak membuahkan hasil apabila pihak British mengumumkan Ipoh sebagai ibu negeri baru bagi Perak Darul Ridzuan pada tahun 1937.

Kemajuan yang pernah dikecapi oleh Taiping suatu ketika dahulu menyebabkan ia pernah dicadangkan sebagai ibu negeri Malaysia selain Kuala Lumpur dan Singapura.

Pun begitu, ia tidak dipilih sebagai ibu negeri Malaysia berkemungkinan atas faktor keduduknya yang terlalu utara berbanding negeri-negeri lain.

Cuba bayangkan kalau Taiping dipilih sebagai ibu negeri Malaysia, betapa majunya bandar itu pada ketika ini.