Baru habis ambil SPM, remaja maut jatuh bangunan

Baru habis ambil SPM, remaja maut jatuh bangunan

Seorang remaja lelaki maut selepas terjatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di Program Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang Utara.

Mangsa yang baru sahaja selesai menjalani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Jumaat lalu tinggal di PPR Jinjang Selatan.

Pada hari kejadian beliau difahamkan pergi berjumpa rakannya di situ.

Menurut laporan Kosmo, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak di laluan pejalan kaki di bawah PPR tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam membabitkan seorang remaja berusia dalam lingkungan 17 tahun.

“Siasatan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Balai Polis Jinjang.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat kesan cedera pada bahagian kepala mangsa dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – FMT