PKPB: Tidak perlu ‘panic buying’ barangan keperluan – KPDNHEP Perak

PKPB: Tidak perlu ‘panic buying’ barangan keperluan – KPDNHEP Perak

Barangan keperluan asas dan harian di seluruh Perak adalah mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, ia berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pasaraya utama, peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negeri.

Menurutnya, jaminan turut diberikan pihak pemborong dan pemain industri utama peruncitan dalam negara seperti pasaraya dan hypermarket yang mempunyai cawangan di Perak bahawa kedudukan stok barangan keperluan asas dan harian adalah mencukupi dan mudah diperolehi.

Katanya, antara barangan yang dipantau bekalannya oleh KPDNHEP sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi ialah gula, minyak masak, gandum, susu tepung, beras, bawang, roti, ayam, telur, pelitup muka, hand sanitizer dan sayur-sayuran.

“Kami juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 297 peruncit dan 120 pemborong terpilih daerah telah dilantik sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas di setiap kawasan Parlimen di negeri Perak sejak pelaksanaan PKP.

“Peranan peruncit dan pemborong yang terdiri daripada hypermarket, pasaraya, pemborong dan kedai runcit akan terus dipertingkat supaya bekalan barangan keperluan asas adalah stabil dan mencukupi sepanjang PKPB,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna tidak membuat pembelian panik, sebaliknya merancang pembelian barangan keperluan berdasarkan kepada keperluan sebenar.

Saifullizan berkata, pihak KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi.

Dalam pada itu, ujarnya, walaupun perayaan Deepavali tahun ini pada 14 November akan disambut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, permintaan terhadap barangan dijangka meningkat sepanjang perayaan.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali selama 9 hari mulai esok (Isnin).

“Sebanyak 20 barangan terlibat dikawal harganya di peringkat borong dan runcit, antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, tomato, ubi kentang, bawang merah dan kacang dal,” tambahnya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya melaporkan kepada pihak KPDNHEP sekiranya terdapat pertanyaan atau aduan mengenai kekurangan bekalan, harga, kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Laporan boleh dibuat melalui saluran yang disediakan seperti Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Perak di talian 05-241 461, portal [email protected]; Call Centre 1800 886 800; email [email protected] dan aplikasi telefon pintar Ez ADU.

Sumber: Suara Perak