Bapa sempat azankan bayi sebelum dia ‘pergi’ bersama ibunya

Bapa sempat azankan bayi sebelum dia ‘pergi’ bersama ibunya

 

“Saya sempat mengazankan bayi lelaki saya sebelum dia ‘pergi’ bersama ibunya sekitar jam 12 tengah malam tadi,” kata Mohd Khairi Hasbullah, 31.

Mohd Khairi berkata, dia reda dengan kehilangan isteri tercinta, Nur Hasliza Yazaib, 25, dan anak keempat yang terbabit dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua motosikal di Kampung Lumpur, di sini, jam 7 malam tadi.

Menurutnya, dia hanya mampu menangis sebaik dipanggil oleh doktor yang memberitahu bahawa anaknya itu tidak dapat diselamatkan selepas beberapa jam bertarung nyawa namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Insya-Allah bila dah selesai segala urusan di hospital, isteri dan anak saya akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol.

“Sekarang ini, saya risaukan anak kedua, Nurul Iman Maisara, 6, yang membonceng bersama arwah isteri kerana turut mengalami kecederaan parah di kepala dan juga sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Saya mohon doa daripada semua agar Nurul Iman selamat dan diri ini diberi kekuatan untuk menerima takdir yang berlaku selain kuat demi dua lagi cahaya mata berusia lapan dan tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ketika dihubungi, mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Terdahulu, Mohd Nasaruddin mengesahkan Nur Hasliza maut di tempat kejadian manakala penunggang satu lagi motosikal Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPM.