“Kereta dibakar tapi ayah takde” – Anak resah bapa hilang sejak 4 September, kereta ditemui di tempat sampah

Malam 3 September lalu, seorang warga emas bernama Sabari Baharom, 62, dikatakan telah keluar berjumpa rakannya menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna emas (KBP 5778).
Mereka pergi berurut sebelum singgah makan di sebuah kedai dan pulang ke rumah bertempat di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling, Kedah.
Pun begitu keesokan harinya, anak-anak mulai risau kerana Pak Cik Sabari gagal dihubungi dan didapati tiada di rumah.
Selain membuat laporan polis, mereka semua ada melakukan pencarian sendiri di beberapa kawasan dengan harapan agar Pak Cik Sabari ditemui.
Namun sejak 4 September lalu, keberadaannya masih tidak dapat dikesan sama sekali. Satu-satunya petunjuk yang ada, Pak Cik Sabari dikesan berada di kawasan SK Kuala Pegang kira-kira jam 3.00 pagi, 4 September.
Lebih 2 minggu berlalu, semalam ahli keluarga telah menyampaikan khabar mengejutkan tentang penemuan kereta Pak Cik Sabari yang dijumpai dalam keadaan total lost di sebuah tempat pembuangan sampah berhampiran Pulau Belantik, Sik.
Pun begitu, warga emas tersebut tidak berada di sana dan masih belum ditemui.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sabari boleh menghubungi talian 0195230287 (Amir Hakimi) atau 01110408552 (Muhaimin) atau mana-mana balai polis berhampiran.