Bantuan khas kewangan RM1,000 untuk penjawat awam Perak

Bantuan khas kewangan RM1,000 untuk penjawat awam Perak

 

Kerajaan Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000, kepada setiap penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penyaluran bantuan khas tersebut, dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memikul tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Ia juga turut melibatkan kakitangan di bawah skim ‘Contract Of Service’ dan ‘Contract For Service’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saarani berkata turut menerima bantuan khas tersebut adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Orang Besar Jajahan, pegawai sambilan harian dan Tok Batin.

Selain itu katanya buat julung kalinya, bantuan khas Aidilfitri akan turut disalurkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri dengan kadar RM500 seorang.

Saarani berkata bantuan khas berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.9 juta dan akan memanfaatkan 7,907 penjawat awam Negeri Perak.