Bantu alih kucing atas jalan raya, rider tergamam terima RM100 dalam balutan duit RM10 dari pemandu X70

Bantu alih kucing atas jalan raya, rider tergamam terima RM100 dalam balutan duit RM10 dari pemandu X70

Seorang penghantar makanan atau ‘rider’ tidak menyangka bakal dikurniakan rezeki selepas bantu mengalihkan seekor kucing yang terbaring di atas jalan.

Ketika kejadian, pemuda yang khuatir kucing tersebut dilenyek kereta itu sedang berehat di tepi jalan sambil menunggu pesanan makanan daripada pelanggan.

Pemuda dikenali sebagai Shahrul itu kemudian perasan ada seekor kucing terbaring di belakang sebuah kenderaan Proton model X70 yang sedang mengundur.

Selepas kucing tersebut dihalau ke tempat yang lebih selamat, Shahrul mengaku dirinya terkejut apabila pemandu kenderaan tiba-tiba turun untuk mendatanginya.

Rupanya hanya mahu berkongsi rezeki, Shahrul merasa tergamam setelah pemandu berkenaan menghulurkan wang kertas bernilai RM10 kepadanya sebelum beredar.

Shahrul bagaimanapun lebih terperanjat ketika mengetahui jumlah sebenar ‘rezeki’ yang dikongsi oleh pemandu berkenaan setelah lipatan wang bernot RM10 itu dibuka.

Tular di media sosial, siapa sangka dengan hanya bantu mengalihkan seekor kucing, seorang penghantar makanan memperoleh RM110 tanpa menghantar pesanan.

“(Tengah) Lepak tepi jalan tunggu pesanan masuk. Ada kucing baring belakang X70 yang sedang mengundur. Aku pun turunlah daripada motor nak halau kucing itu.

“Sebab aku takut kucing itu kena lenyek dengan tayar X70. Selepas kereta itu selesai mengundur, dia (pemandu) berhenti lama di depan aku. Ingatkan tunggu orang.

“Rupanya dia turun (dari kenderaan) nak bagi duit dekat aku. Cakap nak kongsi rezeki sikit,” kata rider berkenaan menerusi satu perkongsian di akaun TikTok miliknya.

Berdasarkan hantaran tersebut, pemuda berkenaan turut memuat naik gambar dua keping wang bernilai RM50 yang sengaja dilipat sebelum ‘dibalut’ dalam not RM10.

RIDER 2

Hasil tinjauan di aplikasi TikTok mendapati perkongsian rider berkenaan telah meraih hampir mencecah setengah juta tontonan daripada pelayar platform berkenaan.

Rata-rata pengguna media sosial cukup kagum dengan tindakan pemandu kenderaan tersebut yang mengamalkan konsep ‘menyorok’ dalam menghulurkan sedekah.

Ramai juga pengguna menyarankan agar rider tersebut terus melakukan kebaikan selain mendoakan kedua-dua pemberi dan penerima sedekah itu dimurahkan rezeki.

“(Jumlah) RM110. Duit RM10 itu dia guna untuk tutup RM100 dari tangan kanan yang memberi. Semoga beliau terus dilajukan rezeki untuk kebaikan. Tuan juga sama,” kata seorang penonton.

“Siapa kata kucing tak bawa rezeki. Asbab kucing, Allah balas ‘on the spot’. Teruslah berbuat baik ya.” Kongsi pengguna lain.