“Bank suruh, bukan suka-suka..” – Peniaga caj pelanggan 10 sen jika bayar guna kod QR
Kini sudah ramai pemilik premis perniagaan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan pembayaran secara kod QR buat para pelanggan.
Bagaimanapun hari ini, taktik sebuah restoran yang berlokasi di Kampung Molten, Melaka ‘mencuri’ duit pelanggan dengan cara halus akhirnya berjaya dibongkar.
Menerusi pendedahan bersama portal @Malaysia Gazette, penjaga kaunter berkata setiap pelanggan yang mahu membayar secara imbasan kod QR perlu menambah RM0.10 bagi setiap harga bernilai RM10.
Lebih pelik lagi, dia mendakwa penambahan itu bukanlah atas kehendak mereka, sebaliknya atas suruhan pihak bank.
Beberapa pelanggan lain yang berada di sana juga cukup terkejut memandangkan caj tambahan sebegitu tidak pernah dikenakan sepanjang mereka menggunakan pembayaran kod QR.
Penularan video tersebut akhirnya mendapat perhatian pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KDN) yang bergegas melakukan serbuan ke restoran terbabit.
Melalui pemeriksaan lanjut dengan pihak bank, maklumat yang dikeluarkan peniaga berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
@malaysiagazette “Kalau nak bayar guna ‘scan’ (imbas kod QR), kena tambah 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan. Kalau RM30 kena caj 30 sen sebab bank suruh bukan saya suka-suka,”. Itu alasan diberikan peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini apabila disoal wartawan MalaysiaGazette mengenai apakah alasan dikenakan caj tambahan 10 sen untuk harga makanan RM3.70. Peniaga wanita berusia 60-an itu mendakwa, caj pembayaran 10 sen bagi setiap pembayaran RM10 menggunakan kod QR dikenakan terhadap pelanggan itu sejak dia menggunakan sistem bayaran tanpa tunai itu. malaysiagazette FaktaKes Video : Reza A Hamid
Menjengah ke ruangan komen, netizen memberikan reaksi berbeza mengenai berita berkenaan. Golongan peniaga yang menyediakan kemudahan imbasan kod QR sendiri akui caj tambahan sebegitu tidak wujud.
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu kedai makan berkenaan.
Serbuan pada pukul 10.40 pagi iaitu kurang daripada dua jam selepas videonya tular itu diketuai oleh Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.
Menurutnya, hasil semakan mendapati peniaga wanita berkenaan mengaku mengenakan caj 10 sen bagi setiap RM10 pembayaran secara imbas kod QR.
“Peniaga berkenaan memberi alasan caj 1% itu dikenakan pihak bank terhadapnya sebelum dia ‘memindahkan’ kos itu kepada pelanggan tanpa sebarang notis pemakluman awal.
“Bagaimanapun hasil semakan kami, pihak bank mengesahkan tiada sebarang caj tambahan dikenakan terhadap peniaga terbabit seperti didakwa,” katanya.
Menurutnya lagi, susulan itu peniaga terbabit telah dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Berkongsi lanjut, Norena berkata tindakan yang dilakukan oleh peniaga terbabit merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.
“Saya ingin menegaskan kenaikan sebegini tidak boleh dijadikan alasan susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar sejak awal bulan ini.
“Semua peniaga diingatkan agar mematuhi undang-undang dan tidak menaikkan harga sewang-wenangnya dengan memberi alasan tidak munasabah,” katanya lagi.