Banjir: Satu PPS ditutup, satu masih dibuka di Perak

Banjir: Satu PPS ditutup, satu masih dibuka di Perak

 

Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir ditutup manakala satu lagi PPS masih dibuka susulan banjir di Perak sejak Isnin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak berkata, sehingga jam 8.30 pagi Selasa, PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Tanjung Malim ditutup selepas banjir melanda Kampung Berop beransur pulih dan mangsa dibenarkan pulang.

Menurutnya, hanya PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan yang masih dibuka menempatkan 18 mangsa dari Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra sejak Isnin.

Pada Isnin, seramai 186 mangsa banjir dipindahkan melibatkan dua mukim iaitu Hulu Bernam, Tanjung Malim dan Changkat Jong, Teluk Intan.

PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dibuka pada jam 2.30 petang manakala PPS SMK Khir Johari pula dibuka pada 5.40 petang.