Bangunan bersejarah berusia 100 tahun diroboh pihak tidak diketahui

Bangunan bersejarah berusia 100 tahun diroboh pihak tidak diketahui

Sebuah lagi bangunan bersejarah dengan nilai warisan tinggi di bandar ini yang terletak di Kampung Kuchai lenyap apabila dirobohkan pihak tidak diketahui beberapa hari lalu dan hanya meninggalkan sisa-sisa runtuhan yang berselerakan.

Binaan rumah kayu peninggalan golongan aristokrat Melayu ini dipercayai berusia 100 tahun diserahkan kepada kerajaan bagi keperluan melebarkan Sungai Kinta pada waktu itu sebelum diserahkan kepada Kelab Rotary Ipoh untuk kegunaan kebajikan.

Ia kemudian dijadikan tempat perlindungan kanak-kanak gelandangan pada tahun 1935 oleh Kelab Rotary Ipoh lalu dikenali sebagai King George V Silver Jubilee Rotary Home.

Dr. Samsudin Cassim iaitu anak Melayu kedua yang bergelar doktor perubatan di Tanah Melayu pernah menjadi penyelia rumah kebajikan tersebut selama beberapa tahun.

Pada tahun 2010 rumah yang terletak di tebing Sungai Kinta ini dan hanya 400 meter dari Masjid Kampung Paloh menjadi premis Kelab Belia Ipoh (Perak Youth Club) sebelum dikosongkan beberapa tahun kemudian.

Tinjauan ke lokasi tersebut semalam mendapati, kerja-kerja perobohan seolah-olah dilakukan secara tergesa-gesa dengan bongkah-bongkah batu bata, kayu-kayu serta papan dan kepingan atap genting terbiar bertaburan.

Tiada papan tanda pemberitahuan sebarang projek dipasang lantas menimbulkan seribu tanda tanya mengapa rumah yang sepatutnya dipulihara sebagai khazanah sejarah Ipoh dibiarkan menyembah bumi.

Ia bukan rumah sembarangan kerana semakan mendapati atap genting yang digunakan bertulisan Tuileries Roman Boyar diimport dari Perancis yang merupakan antara pengilang genting berkualiti semasa era itu dan digunakan secara meluas di Eropah hingga ke Timur Tengah.

Timbalan Presiden Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kerja perobohan itu oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.

Menurut beliau, adalah sangat menyedihkan apabila bangunan warisan berusia 100 tahun yang sepatutnya dipulihara untuk diketahui oleh warga Ipoh hari ini menerima nasib sedemikian.

“Sejak 15 tahun lalu pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan warisan di negeri ini menyuarakan keprihatinan mereka supaya kawasan Kampung Kuchai diambil berat kerana nilainya dalam sejarah Ipoh dan Perak.

“Kini kebimbangan tentang nasib rumah-rumah di perkampungan tersebut nyata apabila sebuah demi sebuah runtuh menyembah bumi sepertimana nasib rumah King George V Silver Jubilee Rotary Home ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kampung Kuchai yang kini sebahagian daripada bandar Ipoh dibuka oleh orang-orang Melayu pada penghujung abad ke-19 sebelum kedatangan imigran Cina berikutan kepesatan perlombongan bijih timah pada masa itu.

Difahamkan, pada tahun 2010 terdapat sekurang-kurangnya kira-kira 12 buah rumah tinggalan golongan aristokrat Melayu Ipoh di sini yang kebanyakannya dihuni secara tidak sah oleh pengusaha bengkel. – UM