Bandaraya Ipoh dilanda banjir kilat

Bandaraya Ipoh dilanda banjir kilat

 

Beberapa lokasi di sini, dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak lewat petang, semalam.

urucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.27 malam mengenai banjir yang melanda kawasan Bercham, di sini.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu anggota BBP Meru Raya bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, air dianggarkan naik sehingga setengah meter, dan pemantauan kini sedang dilakukan dari semasa ke semasa.

Menerusi gambar yang dikongsikan JBPM Perak, bot kecil turut digunakan bagi operasi menyelamat di Taman Desa Impian, di sini, selain beberapa kenderaan diletakkan di kawasan perumahan turut digenangi air.

Difahamkan, banjir kilat turut berlaku di kawasan Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani, Tambun, Greentown, serta berhampiran Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Ipoh iaitu di Stadium Badminton.

Media sosial seperti Facebook dan Twitter turut memuatkan gambar serta rakaman video yang dikongsikan warganet mengenai banjir di kawasan terbabit masing-masing.