Bakal suami lulusan diploma dengan gaji hanya RM1.5K, wanita takut tak bahagia lepas kahwin

Masalah kewangan sering dijadikan punca penceraian pada masa ini.
Sehubungan itu ia menjadi antara kebimbangan para wanita sekiranya bakal suami tidak bergaji besar mahupun memiliki kerjaya profesional.
Beranggapan perkara yang sama, wanita ini turut mempersoalkan sama ada dia akan bahagia atau sebaliknya jika meneruskan perkahwinan dengan pasangan yang bergaji RM1,500.
“Aku bakal berkahwin tahun hadapan, ada kemungkinan atau tidak untuk aku bahagia selepas berkahwin?
“Bakal suami berusia 29 tahun dan berkelulusan diploma dengan gaji RM1,500,” luahnya di laman X.
Beranggapan kebahagiaan hanya bergantung pada aspek kewangan semata-mata, wanita berusia 25 tahun ini turut mempersoalkan sama ada dia perlu meneruskan rancangan perkahwinan atau sebaliknya.
Pada masa sama, dia turut membandingkan gaji bulanan yang diperoleh dengan pendapatan bakal suaminya itu.
“Aku ada ijazah tapi gaji RM4,000 sebulan. Patutkah aku teruskan (perkahwinan),” ajunya lagi.
Hantaran yang dibuatnya itu mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya beranggapan dia berkahwin semata-mata kerana ingin hidup mewah.
“Tak payahlah kahwin dengan lelaki tu, bagi dia dapat perempuan yang lebih baik daripada kamu. Kesian dia tak bahagia nanti.
“Kalau belum kahwin dah was-was disebabkan duit, tak payahlah. Nanti dah kahwin mula ungkit-mengungkit.
“Gaji RM4,000 tu tak besar mana pun. Bahagia bukan datang daripada duit sahaja, tapi attitude. Kerjasama dan toleransi dalam rumah tangga sebab duit boleh dicari tapi sikap ni sampai mati tak berubah.
“Kahwin ni kalau kita nak duit, duit je yang kita dapat tapi kalau nak bahagia… belum tentu akan dapat, sebab itu kena ikhlas,” ujar beberapa warga maya.