“Baju sekolah Zuhal, Marikh pengubat rindu keluarga” – Ibu mimpi anak datang cium dan minta maaf sambil senyum
Baju sekolah milik Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan Ahmad Marikh, 13, menjadi peneman Norzalifa Mohd Yusof, 35, setiap kali teringatkan anak kesayangannya.
“Baju ini kami bawa balik dan kesan darah itu kami basuh pagi tadi. Inilah pakaian yang menjadi kenangan buat kami.
“Tidak sangka mereka berdua sudah tiada. Rindu sangat dengan keletah mereka, senyuman terakhir mereka terutama adik yang suka buat memek muka sebelum keluar bekerja semalam.
Memetik laporan Sinar Harian, dek kerana terlalu rindu kepada dua orang anaknya, ibu ini sampai termimpi anak-anaknya datang cium dan minta maaf sambil senyum. Kemudian terasa tangan ditepuk-tepuk sebelum terjaga.
Mengulas mengenai individu yang ditangkap berkaitan kes kemalangan dua anaknya, Norzalifa berkata, dia mengharapkan hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki terlibat.
“Saya tidak mahu tengok muka dia, geram kerana dia nyawa kedua-dua anak saya melayang. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, dia mesti bertanggungjawablah.
“Hendak menangis pun saya tetap reda kerana mereka pergi dalam bulan yang baik, Jumaat terakhir di bulan Ramadan,” katanya.
Norzalifa mengakui sambutan Syawal terasa hambar tanpa kehadiran kedua-dua anaknya itu.
“Kalau ada rakan-rakan yang hadir, kami jamu seadanya tetapi tidak pergi mana-mana pun untuk beraya.
“Memang tidak boleh lupalah permintaan adik yang mahu baju raya dan dia ada minta buat kuih kerana nak makan banyak-banyak,” katanya.
Terdahulu, Norzalifa dan suami, Norazlan Tajuddin, 37, menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah yang menyampaikan sumbangan mewakili kerajaan negeri.
Turut hadir menyantuni keluarga berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.