Netizen terkejut baju pakoda dengan kesan seterika dijual dengan harga RM2,000

Netizen terkejut baju pakoda dengan kesan seterika dijual dengan harga RM2,000

 

Sehelai baju pakoda putih dengan kesan terbakar akibat seterika telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen selepas ia dijual dengan harga RM2000 di laman web fesyen vintaj.

Menurut MSN, baju itu dikatakan keluaran jenama Maison Margiela, sebuah jenama fesyen mewah Perancis yang terkenal dengan rekaan eksentrik dan avant-garde.

Jenama ini dahulunya dikenali sebagai Maison Martin Margiela, sebelum menukar namanya kepada Maison Margiela.

Pada 9 September lalu, seorang pengguna X bernama @joulian telah berkongsi gambar baju pakoda putih tersebut yang menampilkan kesan terbakar akibat seterika, sambil mendakwa produk itu adalah keluaran Maison Margiela yang dilancarkan pada tahun 2007.

Jualan semula baju pakoda tersebut telah mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas mengetahui ia dijual dengan harga yang tinggi.

Beberapa netizen meluahkan rasa terkejut terhadap reka bentuk dan harga baju tersebut.

Salah seorang bertanya, “Ada orang beli baju macam ni ke?” Manakala yang lain pula tertanya-tanya sama ada kesan terbakar itu sebenarnya adalah sebahagian daripada rekaan asli produk tersebut.

Seorang netizen berseloroh, “Tak sangka kesan terbakar pada baju pun boleh jadi fesyen mewah.”

Maison Margiela memang dikenali dengan rekaan yang tidak konvensional.

Mereka sering melangkau sempadan fesyen tradisional, mencabar idea tentang apa yang dianggap ‘cantik’ dan ‘bergaya’.

Namun, untuk baju dengan kesan terbakar yang sengaja diletakkan ini, ramai yang berpendapat bahawa ia melampaui batas.