Bajet Negeri 2021: Berlaku adil pada golongan M40

Bajet Negeri 2021: Berlaku adil pada golongan M40

PERAK dijangka membentangkan Bajet Negeri 2021 pada awal Disember ini yang pastinya dinanti-nantikan rakyat di negeri ini.

Tumpuan pastinya terarah kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu golongan terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) terutama dalam kalangan B40 di negeri ini.

Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan, Perak mempunyai bilangan isi rumah B40 terbesar di negara ini iaitu sebanyak 12.7 peratus diikuti Selangor (12.1 peratus) dan Sarawak (11.5 peratus).

Bagi kumpulan M40 pula, Perak di tangga ketiga dengan 7.4 peratus berbanding Selangor (25.2 peratus) dan Johor (14.1 peratus).

Melihat kepada statistik itu, tidak hairanlah jika Bajet Perak 2021 kali ini akan memberi tumpuan kepada golongan B40 bagi membolehkan mereka terus berdaya saing.

Sudah tentu pelbagai inisiatif akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi merangsang ekonomi kumpulan berkenaan sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir.

Bagaimanapun, jangan dilupakan kumpulan M40 yang menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi bagi negeri ini kerana kebanyakan mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya pembayar cukai paling ramai.

Justeru, kerajaan negeri perlu melihat kumpulan ini sebagai satu golongan yang cukup penting dan perlu diberikan keutamaan kerana mereka juga terkesan akibat Covid-19.

Antara perkara yang harus dilihat secara teliti menerusi Bajet Negeri 2021 nanti ialah pengurangan atau diskaun cukai tertentu terutama cukai tanah dan cukai pintu.

Sebelum ini, kerajaan Perak memperkenal inisiatif memberikan beberapa pengecualian bayaran sewaan serta bantuan secara ‘one-off’ kepada golongan peniaga yang terjejas menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).

Bukan semua golongan M40 itu adalah peniaga kerana ada yang bekerja di sektor swasta dan kakitangan kerajaan.

Jika sebelum ini Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberikan diskaun bagi bayaran cukai tertunggak, mungkin diskaun cukai secara menyeluruh mungkin boleh diberikan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Selain itu, diskaun kompaun tertunggak bagi kesalahan-kesalahan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dilihat sebagai salah satu usaha yang boleh meringankan beban golongan M40.

Perkembangan industri pelancongan turut dibantu oleh kumpulan M40 kerana kebanyakan mereka mempunyai peruntukan khusus untuk berlibur.

Industri pelancongan membabitkan rantaian ekonomi yang besar bukan sahaja melibatkan produk pelancongan semata-mata tetapi perkhidmatan sampingan seperti perhotelan, makanan, kraftangan dan sebagainya.

Jika kumpulan B40 diberikan Kad Perak Prihatin untuk membeli barangan keperluan, apa salahnya jika kerajaan negeri memperkenalkan kad diskaun melancong sebagai insentif kepada golongan M40.

Usaha itu sedikit sebanyak dapat membantu industri pelancongan domestik yang terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Internet

Dari sudut pembangunan pula, usaha memperbaiki infrastruktur utama seperti jalan raya, jalan ladang dan sebagainya perlu juga diberikan perhatian bagi meningkat kualiti hidup rakyat.

Sesuai dengan norma baharu yang sangat bergantung kepada aplikasi dalam talian, kadar capaian internet berkelajuan tinggi perlu dipertingkatkan bukan sahaja di luar bandar malah di kawasan bandar.

Di bandar raya Ipoh ini, masih ada kawasan yang lemah liputan internet sehingga ada pengguna yang terpaksa mencari kawasan lapang atau tinggi sekiranya mahu menggunakan internet. Rasanya Kampung Ulu Kenderong, Gerik lebih baik liputannya!

Dalam masa sama, perbelanjaan untuk program berbentuk karnival mega mungkin boleh dikurangkan sesuai dengan kebiasaan baharu dalam tempoh pandemik ini dan peruntukan tersebut boleh disalurkan untuk program-program yang lebih bermanfaat.

Kerajaan juga perlu memperbanyakkan kerjasama dengan pihak swasta untuk sektor-sektor tertentu agar beban kewangan dapat diminimumkan.

Proses pemulihan ekonomi dalam tempoh penularan Covid-19 memerlukan penglibatan semua pihak dengan dorongan pihak kerajaan untuk memastikan rakyat terus berminat untuk berbelanja.

Dalam merencanakan pembangunan dan perbelanjaan menerusi bajet tahunan ini, kerajaan bukan sahaja perlu memastikan tiada rakyat tertinggal bahkan tiada kumpulan yang merajuk, terutama M40.

*Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Perak

Sumber: Sinar Harian