“Bagus, jenis terima teguran” – Ramai puji peniaga lelaki terima teguran Ustaz Azhar Idrus, tidak pakai tudung wanita di kepala

“Bagus, jenis terima teguran” – Ramai puji peniaga lelaki terima teguran Ustaz Azhar Idrus, tidak pakai tudung wanita di kepala

Minggu lalu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus mengeluarkan kenyataan bahawa, Allah S.W.T melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan hukumnya adalah haram.

Ustaz Azhar Idrus berkata demikian ketika mengulas soalan yang diajukan kepadanya berhubung perbuatan peniaga lelaki memakai atau menutup kepala menyerupai wanita ketika berniaga tudung.

“Allah melaknat lelaki pakai pakaian untuk perempuan. Pakaikan pada patung. Hanya boleh ketika darurat.

“Sebagai contoh, lelaki dirompak atau samun sehingga tiada pakaian. Dan lelaki ini terjumpa pakaian wanita di tengah jalan dan memakainya. Hukumnya tidak hara kerana menutup aurat,” katanya.

Beberapa hari kemudian, peniaga berkenaan didapati tidak lagi memakai tudung wanita ketika membuat sesi penjualan secara langsung di platform TikTok. Malah dia memakaikan tudung jualannya pada patung.

Di ruangan komen, netizen memuji sikap peniaga itu yang dilihat dapat menerima teguran itu secara terbuka.

“Bagus bang, ambil teguran ustaz. Manusia tak lari daripada kesilapan. Yang penting terima dengan hati terbuka,” kata Zooree.

“Alhamdulillah, dia dengar nasihat. Dah tak pakai kat kepala sendiri. Semoga dimurahkan rezeki yang diberkati,” kata Sueanna Joe.