Bagasi berisi duit lebih RM500,000 ditemui di parkir kereta, polis seru pemilik tampil

Bagasi berisi duit lebih RM500,000 ditemui di parkir kereta, polis seru pemilik tampil

 

Sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih ditemui seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Namun, pengawal keselamatan terbabit tidak menyangka apabila bagasi yang ditemui di tempat letak kenderaan di premis itu rupanya berisi wang tunai melebihi RM500,000.

Menurut sumber, polis menerima laporan daripada pengawal keselamatan warga tempatan berusia 30-an semalam berkaitan penemuan sebuah bagasi bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

“Kita percaya wang berkenaan adalah tulen. Bagaimanapun kita akan sahkan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Justeru, kita minta mana-mana individu yang ada tertinggal bagasi berisi wang lebih RM500,000 untuk tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi 03-79662222,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Mengulas lanjut, polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi tersebut ditemukan.

Oleh itu, polis membuka kertas siasatan berkaitan penemuan wang terbabit. Jelasnya, pemilik yang ingin menuntut wang berkenaan perlulah membawa bukti-bukti berkaitan.

“Sekiranya ia tidak dituntut, wang ini akan diserahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.