Azmin ini kalau bercakap selalunya songsang, sindir pemimpin BN

Azmin ini kalau bercakap selalunya songsang, sindir pemimpin BN

 

Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah pendirian akar umbi, tegas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Justeru beliau tidak tahu macam mana Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menjadi jurucakap UMNO dengan mendakwa keputusan itu pendirian presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan akar umbi.

“Tadi Azmin kata, yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu kononnya pendirian Presiden Zahid Hamidi bukannya pendirian akar umbi UMNO.

“Azmin ini kalau bercakap selalunya songsang dan terbalik, dalam hal ini kononnya macam dia pula yang lebih tahu apa akar umbi UMNO mahu berbanding presiden dan orang UMNO sendiri.

“Akar umbi UMNO telah buat ketetapan dalam Perhimpunan Agong UMNO (PAU) bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini, menurut laporan Malaysia Gazette.

Beliau menjawab kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR yang dilaporkan berkata, keputusan itu adalah pandangan Ahmad Zahid sebagai presiden sedangkan beliau mendapat maklumat daripada pemimpin UMNO (akar umbi) yang mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN.

Menurut Isham, UMNO tidak boleh terperangkap dengan helah Bersatu lebih lagi jika berlaku kerjasama dalam menghadapi PRN Melaka bulan depan.

“Jika kita beri kerusi kepada mereka (PPBM) dalam PRN Melaka ini, kalah atau menang mereka akan paksa kita untuk bekerjasama dalam PRU (ke-15) nanti pula dan minta kita serah kerusi lagi.

“Kita tidak boleh terperangkap dengan helah ini dan tergelincir di lurah yang licin atau slippery slope mereka ini.

“Jika kita menang pula, mereka akan kata ia (kemenangan) itu sebab mereka dan jika kita kalah pula mereka akan kata “kerjasama” ini kononnya perlu dikuatkan lagi untuk menang PRU pula,” katanya.

Mengenai PN mahu bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 19 kawasan Melayu, Isham berkata, formula parti itu seperti formula lintah darat atau formula Belanda minta tanah.