Azhar persoal kenapa tiada pemimpin Pas berani tampil pertahankan Siti Mastura

Azhar persoal kenapa tiada pemimpin Pas berani tampil pertahankan Siti Mastura

 

Seorang pemimpin Pemuda Amanah mempersoalkan kepimpinan PAS yang dilihat membisu di saat Siti Mastura Muhammad dihujani kecaman.

“Pengerusi DAP Lim Guan Eng telah memulakan tindakan undang-undang terhadapnya. Namun masih tiada kedengaran sebarang usaha membela Mastura atau paling tidak menyediakan khidmat guaman kepadanya,” kata Exco Pemuda Amanah Azhar Rahman dalam kenyataan.

Azhar berkata, kepimpinan PAS sepatutnya sama ada mengeluarkan kenyataan menyokong Mastura – terutama di saat dia diasak oleh pimpinan DAP – atau membuat permohonan maaf bagi pihaknya jika merasakan dakwaan tersebut tidak berasas.

“Gunakan saja alasan yang kenyataan dia telah dimanipulasi atau diambil di luar konteks seperti yang biasa pimpinan Pas lakukan supaya serangan lawan dapat dikurangkan.

“Pemimpin Pas tak patut biarkan Mastura kelihatan dungu begitu. Apatah lagi dia sebagai pimpinan wanita muda yang kuat mempertahankan kepimpinan Pas setiap masa,” katanya lagi.

Semalam, Lim memaklumkan telah melantik peguam Sankara Narayanan Nair untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Ia selepas Siti Mastura tidak setelah dia tidak mengemukakan bukti pertalian kekeluargaan antara Lim dengan pemimpin komunis Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan perdana menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew, dalam tempoh 48 jam.

Siti Mastura membuat dakwaan itu dalam satu program PAS di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Selain Chin Peng dan Lee Kuan Yew, dia juga mendakwa Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok serta Ngeh Koo Ham.

Dakwaan itu telah mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk menjadi bahan sindiran di media sosial.

Dua hari lalu, pemimpin DAP juga membuat laporan polis terhadapnya dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat.