Azhar mahu rangka strategi pastikan pengundi baru dan muda kekal berpihak kepada PH-BN pada PRU-16

Azhar mahu rangka strategi pastikan pengundi baru dan muda kekal berpihak kepada PH-BN pada PRU-16

 

Exco Pemuda Amanah Nasional, Azhar Rahman, berkata pengundi baru – yang dianggarkan kira-kira dua juta orang – adalah kumpulan sasarannya jika terpilih mengetuai sayap parti itu tidak lama lagi.

Kata Azhar jumlah itu adalah berdasarkan kepada data mengenai pelajar yang telah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun lalu sehingga 2027.

“Berdasarkan rekod, ada seramai 403,677 calon SPM pada 2022 dan dianggarkan jumlah kumulitif mereka antara PRU ke-15 sehingga PRU ke-16 ialah dua juta orang.

“Mereka itulah yang akan menjadi pemilih kerajaan akan datang apabila didaftarkan sebagai pengundi secara automatik,” katanya kepada Malaysiakini.

Amanah – termasuk semua sayapnya – akan mengadakan konvensyen pada hujung tahun ini, bersekali dengan pemilihan parti.

Berbeza daripada kebanyakan parti, pemilihan pemimpin utama Amanah tidak dibuat secara langsung sebaliknya perbincangan dalam kalangan sejumlah ahli jawatankuasa tertinggi parti.

Justeru seseorang calon tidak boleh bertanding atau menawarkan diri secara langsung untuk jawatan ketua atau presiden.

Azhar adalah seorang daripada tiga nama yang sudah mengesahkan berminat untuk menawarkan diri sebagai ketua Pemuda Amanah.

Dua lagi nama ialah penyandang, Hasbie Muda, serta Ketua Pemuda Selangor merangkap Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.

Azhar berkata menjadi tanggungjawab besar kepada pergerakan pemuda parti-parti kerajaan perpaduan – khususnya Amanah – memandu pengundi muda dan baru untuk memahami naratif politik semasa.

Katanya langkah itu penting supaya mereka tidak dikelirukan oleh dakyah pihak lawan, apatah lagi golongan terbabit pernah dilabel jahil oleh pemimpin parti pembangkang.

“Perancangan jangka masa sederhana dan panjang perlu dirangka mulai sekarang bagi memastikan kumpulan terbabit kekal berpihak kepada PH-BN terutama Amanah yang memperjuangkan politik progresif dalam negara,” katanya.

Menurut Azhar lagi, penguasaan kumpulan pengundi muda boleh menjadi penentu sama ada kerajaan perpaduan sekarang mampu bertahan di Putrajaya selepas PRU ke-16 atau sebaliknya.

Dia yang juga Exco Pemuda Amanah Perak menambah, kedudukan sebagai kerajaan bukanlah alasan untuk berasa selesa kerana suasana politik sentiasa berubah-ubah.

Bahkan, katanya, keadaan itu juga sukar diramal khususnya dengan kecenderungan pengundi muda yang bersikap anti-establishment (antipenguasa).

“Kepimpinan pemuda yang menepati cita rasa golongan berkenaan perlu ditonjolkan sebagai usaha menarik perhatian mereka kepada Amanah,” katanya.