“Ayah dah gerak, mak tak bagi naik public transport” – Alasan staf baru tak dapat datang kerja buat majikan terkedu

“Ayah dah gerak, mak tak bagi naik public transport” – Alasan staf baru tak dapat datang kerja buat majikan terkedu

 

Kehadiran pekerja di tempat kerja adalah aspek penting dalam menjalankan operasi harian sebuah organisasi. Tanpa kehadiran pekerja, produktiviti dan efisiensi organisasi boleh terjejas. Namun, ada kalanya pekerja memberikan alasan yang tidak munasabah untuk tidak hadir bekerja.

Seorang individu bernama Dyla baru-baru ini berkongsi luahannya di Facebook mengenai seorang pekerja baru yang memberi alasan tidak masuk akal ketika ditanya mengapa tidak dapat datang bekerja.

Menurut Dyla, pekerja baru tersebut memberi alasan tidak dapat hadir kerana menghadapi masalah pengangkutan.

“Saya tak ada transport, ayah saya dah gerak untuk hadir meeting dia. Mak saya tak pernah bagi naik public transport. Since ayah saya tak dapat nak jamin dia boleh hantar setiap hari, saya takut tak dapat commit dengan permintaan company. Jadi saya terpaksa undur diri. Saya minta maaf sangat sebab menyusahkan,” kata pekerja berkenaan.

Alasan yang diberikan itu mengundang persoalan Dyla mengenai sikap generasi muda masa kini. Apakah generasi muda ini terlalu manja atau terlalu bergantung pada ibu bapa sehingga tidak pandai berdikari untuk menggalas tanggungjawab sendiri.

“Adakah mereka terlalu manja atau bergantung harapan kepada ibu bapa atau mereka dimanjakan? Apa sebenarnya matlamat hidup mereka?

“Zaman saya dengan orang-orang lama, kita sendiri gelabah mencari kerja. Bila dah dapat kerja, masa tu rasa bersyukur sangat.

“Tak tambah lagi kena maki, buli, angkat kotak, pos barang seorang diri, kena balik pada waktu malam pun hadap saja. Semua itu orang lama jadikan sebagai pengalaman sebelum mendapat tawaran kerja yang lebih bagus di tempat lain,” katanya.

Justeru, Dyla menyeru agar generasi muda belajar berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.

“Kalau kena pada generasi anak muda sekarang, silap-silap esok dapat mesej tak dapat nak teruskan kerja. Mudah sangat berputus asa. Nak duduk di zon selesa sampai bila?

“Semua tempat kerja sama saja dik. Tak ada yang mudah dalam hidup ini. Tak ada environment yang best dan sama seperti syarikat-syarikat lain. Belajarlah berdikari supaya tidak bergantung kepada sesiapa,” katanya.