Kekal di tempat pertama, Perodua pengeluar tertinggi untuk bulan Ogos, Axia dan Bezza paling laris

Kekal di tempat pertama, Perodua pengeluar tertinggi untuk bulan Ogos, Axia dan Bezza paling laris

 

Pengeluaran kereta PERODUA meningkat sembilan peratus bulan ke bulan pada Ogos didorong oleh dua model kereta termurah yang paling laris iaitu Axia dan Bezza.

Penganalisis RHB Investment Bank, Syahril Hanafiah, berkata bilangan unit Axia yang siap dipasang bulan lalu melonjak 14 peratus, manakala unit Bezza meningkat sebanyak 31 peratus.

“Apabila bilangan unit kedua-dua model ini digabungkan, dua model ini merangkumi 57 peratus jumlah pengeluaran kereta PERODUA pada bulan Ogos,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dua pengeluar kereta nasional merekodkan peningkatan dalam jumlah pengeluaran apabila PROTON turut mencatatkan kenaikan sebanyak empat peratus bulan lalu.

Syahril berkata, dalam kalangan pengeluar kereta utama bukan nasional, Honda mengalami kenaikan pengeluaran kereta mencecah lapan peratus setelah keluaran kereta jatuh selama dua bulan berturut-turut, manakala jumlah pengeluaran Toyota susut dua peratus bulan ke bulan.

Beliau berkata, apabila pertumbuhan jumlah pengeluaran industri (TPV) dilihat mengatasi jumlah keseluruhan industri (TIV), hal ini bermakna bilangan tempahan tertunggak semakin mengurang semasa bulan berkenaan.

“Malah, pada tempoh suku kedua 2024, tunggakan pesanan yang diterima pengeluar kereta utama kelihatan mendatar suku ke suku dan hal ini mungkin disebabkan oleh TPV lebih rendah pada suku berkenaan,” katanya.

Syahril berkata, TIV untuk bulan Ogos mencecah 71,162 unit, susut 2.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata TIV bagi lapan bulan pertama tahun ini melonjak 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 533,301 unit, manakala jumlah pengeluaran keseluruhan berada pada paras 74,000.

“Oleh sebab prestasi TIV dijangkakan lebih lemah pada September susulan penutupan sementara operasi kilang untuk tujuan penyelenggaraan, kami berpendapat jualan akan kembali normal pada tempoh separuh kedua 2024, dan mungkin jatuh lapan peratus tahun ke tahun.

“Dengan ini, kami bertindak untuk tidak mengubah wajaran ‘neutral bagi sektor hartanah dengan ramalan TIV bagi 2024 sebanyak 790,000 unit,” katanya.

Syahril berkata, kebanyakan syarikat pengeluar kereta utama mengalami kejatuhan jualan unit kereta dengan PROTON, Toyota dan Honda masing-masing mengalami penurunan sebanyak 10 peratus, 17 peratus dan lima peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, katanya PERODUA merekodkan jualan bulanan tertinggi dengan mencecah bilangan sebanyak 34,700 unit, peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding 2023.

“Jika tidak mengambil kira catatan syarikat pengeluar kereta nasional terbesar itu, TIV pastinya akan susut sebanyak 13 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos.

“Prestasi mantap TIV setakat tahun ini disumbang oleh jualan kereta penumpang yang meningkat lapan peratus tahun ke tahun, manakala jualan kereta komersial menurun 14 peratus yang mungkin disebabkan oleh penarikan subsidi diesel,” katanya.