Awal Ashaari sindir pihak pengurusan, sakan ‘berposing’ di palang

Awal Ashaari sindir pihak pengurusan, sakan ‘berposing’ di palang

 

PERKONGSIAN klip video pengacara dan pelakon Awal Ashaari di laman Instagram, menarik perhatian wargamaya dan juga rakan-rakan artis.

Awal yang berdepan pendakwaan mahkamah kerana didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan palang pagar di sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya, Selangor, telah memuat naik hantaran sarat dengan sindiran.

Bekas pengacara Melodi itu berkongsi satu video kompilasi gambarnya sakan ‘berposing’ di hadapan sebuah palang seolah-olah menyindir pihak pengurusan perumahan berkenaan.

Malah bekas pengacara program Melodi itu berkata, tiada sebarang kerosakan lagi terjadi kepada palang tersebut ketika dia mengambil gambar di situ.

“Jangan risau, tiada palang yang rosak ketika proses ini,” tulis pemilik nama Ahmad Awaluddin Ashaari itu.

Klip video berdurasi 19 saat itu memaparkan Awal membuat pebagai gaya dengan di hadapan palang berkenaan sehingga rakan artis dan pengikutnya terhibur dengan aksi itu.

Difahamkan, bapa dua cahaya mata itu dihalang bagi memasuki kediaman tersebut kerana mempunyai tunggakan bayaran yuran fasiliti dengan pihak pengurusan.

Menerusi penjelasan semalam, selebriti berusia 41 tahun itu memaklumkan bahawa dia hanya mengalihkan palang tersebut menggunakan tangan dan bukan melalui cara kekerasan seperti melanggar dengan kereta.

Selasa lalu, mengikut pertuduhan, Awal didakwa melakukan khianat apabila merosakkan palang pagar milik pengurusan dengan kerugian sebanyak RM600.