“Awak ni nak tutup periuk rezeki orang lain ke..” – Jual nasi bajet RM3.50 sebungkus, peniaga terkejut ditegur pelanggan

“Awak ni nak tutup periuk rezeki orang lain ke..” – Jual nasi bajet RM3.50 sebungkus, peniaga terkejut ditegur pelanggan

 

Seorang peniaga nasi lemak bajet telah berkongsi pengalamannya di sebuah platform X mengenai seorang pelanggan yang datang ke gerainya.

Pelanggan berkenaan kemudian bertanya tentang harga dan cara penyediaan nasi lemak yang dijual oleh Nurul Shima.

“Dia tanya, ‘RM3.50 satu ke?’, saya pun ye. Dia tanya lagi, ‘Lauk asing atau campur nasi’ dan saya pun jawab la lauk asing,” katanya.

Dan tidak semena-mena pelanggan itu memberi teguran kepada Nurul kerana menjual nasi lemak dengan harga yang rendah, yang menurutnya boleh menutup rezeki peniaga lain.

“Awan ni nak tutup periuk rezeki orang yang jual nasi lain ke? Kalau awak jual harga gini, macam mana peniaga lain nak hidup?

“Mesti orang beli kat awak sebab murah. Awak kena naikkan harga jadi RM4.50. Kena selarikan nasi rahmah,” kata pelanggan berkenaan.

Meskipun terkejut dengan teguran itu, Nurul sempat menawarkan sebungkus nasi lemak secara percuma kepada pelanggan berkenaan.

Macam mana boleh jual murah?

Perkongsian itu tular di platform X, ada individu bertanya bagaimana Nurul masih boleh menjual nasi lemak pada harga yang murah berbanding peniaga lain.

“Dik, akak niaga petang sahaja. Gerai tepi jalan yang tak ada jiran peniaga kiri kanan pun. Tak kacau langsung peniaga lain terutama yang jual nasi tengah hari.

“Akak pun dah niaga nasi bajet ni sejak 2020. Harga masih sama, tak naik-naik pun. Kita dapat beli barang murah, juallah murah. Untung ada la juga, bukan nak rugi,” jelas Nurul.

Sementara itu, ada netizen yang memuji Nurul yang tidak tamak seperti kebanyakan peniaga lain yang hanya mementingkan keuntungan tanpa berniaga dengan keikhlasan hati.

“Semoga dimurahkan rezeki selalu kak. Usah peduli kat orang yang ada hasad dengki tu. Rezeki masing-masing. Akak tolong banyak orang susah, rezeki Allah lipat gandakan lagi.

“Biasanya orang yang kata macam tu, dia tu peniaga. Kalau pembeli tak cakap banyak sebab susah nak jumpa makanan murah, nak-nak pula di kawasan Lembah Klang,” kata netizen.