Kecoh gambar bogel ‘deepfake’ atlet wanita di sekolah sukan disebarkan
Kecoh gambar bogel ‘deepfake’ atlet wanita di sekolah sukan disebarkan.
Polis sedang menyiasat gambar bogel palsu pelajar perempuan Sekolah Sukan Singapura (SSP) yang dicipta dan disebarkan oleh rakan mereka yang lain, lapor portal berita asiaone hari ini.
Sebagai tindak balas kepada pertanyaan akhbar The Straits Times, pengetua sekolah tersebut, Ong Kim Soon berkata, SSP menyedari insiden melibatkan penciptaan dan perkongsian gambar palsu itu.
“Pihak sekolah tidak membenarkan tingkah laku berbahaya ini,” katanya, sambil menambah, pihaknya telah melancarkan siasatan dan membuat laporan polis.
Polis turut mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Seorang pembaca yang mengenal pasti dirinya sebagai keluarga kepada mangsa menghantar e-mel kepada akhbar tersebut tentang imej bogel palsu yang sedang diedarkan.
“Ramai ibu bapa pelajar perempuan yang terjejas di SSP membuat laporan polis mengenai gambar bogel palsu anak perempuan mereka yang dihasilkan oleh pelajar lelaki di sekolah itu,” tulis keluarga tersebut. – Agensi