Salah satu asrama penginapan pekerja kilang sarung tangan ternama di Tasek di sini didapati gagal mematuhi penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Pengarah Standard Perburuhan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) , Mohd Asri Abdul Wahab berkata antara kesalahan yang dikenalpasti ialah bilangan penghuni asrama bagi sebuah rumah melebihi had yang ditetapkan, selain aspek kebersihan yang tidak memuaskan.
“Kalau kita nak berceritakan tentang isu penularan wabak COVID-19, inilah yang berlaku di mana rumah-rumah pekerja itu disumbat antara 20 hingga 30 orang sedangkan sepatutnya rumah itu hanya boleh diisi antara 10 hingga 12 orang sahaja.
“Tadi kita lihat saya bertanya tentang kunci pun,kelam-kabut nak cari dan sepatutnya penyelia yang dipertanggunggjawabkan tahu tentang perkara itu.
“Kami akan lihat sekiranya majikan ini memang didapati melakukan kesilapan maka mereka akan disabitkan dan pihak kita boleh buka kertas siasatan dan denda maksimum bagi satu kesalahan mencecah RM 50,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi Akta 446 di Ipoh pada Khamis.
Yang turut sama, Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar.
Operasi itu dijalankan serentak di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.
Seramai 20 anggota penguatkuasa JTK dan Jabatan Kesihatan Negeri menyertai operasi tersebut.
Mohd Asri menambah setiap majikan perlu memohon surat perakuan penginapan untuk memastikan mereka senitasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
Sementara itu, Ahmad Fakurazi berkata pihaknya turut menasihatkan majikan terbabit untuk mematuhi SOP sedia ada bagi mengekang penularan COVID-19.
“Kita mendapati disebabkan kedudukan penghuni yang agak ramai dalam satu satu premis, proses nyahkuman perlu dijalankan supaya dapat mengelakkan kalau ada gejala.
“Andai kata salah seorang mendapat jangkitan kita lakukan proses nyahkuman sekurang-kurangnya di dalam asrama ini tiga kali dalam sehari,” katanya.
Penambahbaikan Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 itu antara lain meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.