Ashira terkejut, menggigil dengar berita Bad Indigo meninggal dunia

Ashira terkejut, menggigil dengar berita Bad Indigo meninggal dunia

Penyanyi Ashira mendedahkan dia terkejut apabila mendapat berita mengenai pemergian bekas suaminya, Bad Indigo.

Memetik Astro Gempak, Ashira berkata dia mendapat tahu mengenai berita tersebut daripada rakan media.

“Saya sebenarnya tak tahu apa-apa langsung sebab saya dah lost contact lama dah. Macam dia dah ada kehidupan dia kan…tak bermesej apa semua.

“Tadi tahu dari wartawan lain, tak perasan pula Kak Liza (Liza Hanim) post. Saya call Kak Liza, nak tanya sahih ke, Kak Liza sahkan yang arwah meninggal sebab serangan jantung selepas Maghrib tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Ashira berkata dia tak sangka bekas suaminya telah pergi memandangkan arwah sering memuat naik video dan kelihatan sihat sahaja.

“Masa dapat tahu tadi terkejut sangat sebab selalu nampak video-video yang dia buat di tempat kerja. Nampak sihat Alhamdulillah. Entahlah, saya masih speechless dan menggigil,” katanya.

Terdahulu, Ashira dan Bad mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 dan mengambil keputusan bercerai pada Jun 2022.