Merajuk dengan Apple, Indonesia tolak tawaran pelaburan bernilai US$100 juta

Merajuk dengan Apple, Indonesia tolak tawaran pelaburan bernilai US$100 juta

 

Merajuk dengan Apple, Indonesia tolak tawaran pelaburan bernilai US$100 juta

Kerajaan Indonesia baru-baru ini menolak tawaran pelaburan bernilai USD100 juta (kira-kira RM470 juta) daripada gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple, lapor Asumsi.

Menurut jurucakap Kementerian Perindustrian Indonesia (Kemenperin), Febri Hendri Antoni Arief, nilai pelaburan yang ditawarkan itu dianggap tidak setimpal dan tidak adil jika dibandingkan dengan pelaburan Apple di negara-negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Thailand.

Febri menjelaskan bahawa walaupun jumlah tersebut kelihatan besar, ia jauh lebih kecil berbanding pelaburan Apple di Vietnam, yang mencecah USD15.8 bilion (sekitar RM74 bilion), atau kira-kira 200 kali ganda lebih tinggi daripada tawaran kepada Indonesia.

“Kami menilai bahawa tawaran pelaburan sebanyak USD100 juta ini tidak adil untuk Indonesia jika dibandingkan dengan negara lain seperti India, Vietnam, dan Thailand.

“Ia tidak mencerminkan keadilan, terutama apabila kita bercakap tentang keperluan untuk pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di negara ini,” kata Febri dalam satu kenyataan rasmi Kemenperin pada Ahad, 24 November 2024.

Kementerian Perindustrian Indonesia juga mempertimbangkan sama ada jumlah pelaburan ini seiring dengan sasaran kerajaan pimpinan Presiden Prabowo dan Naib Presiden Gibran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 8% serta meningkatkan penyerapan tenaga kerja tempatan.

Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita berharap Apple boleh bekerjasama dengan industri tempatan untuk menyertai Global Value Chain (GVC) mereka.

Langkah ini akan memberikan manfaat besar kepada sektor pembuatan dalam negara, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Febri mendedahkan bahawa Apple masih belum merealisasikan komitmen pelaburan bernilai Rp271 bilion (sekitar RM82 juta) dari tempoh 2020-2023.

Hal ini menyebabkan kementerian belum mengeluarkan sijil TKDN (Tingkat Komponen Dalam Negeri) dan lesen import untuk produk seperti iPhone 16 Series.

“Kami berharap Apple mematuhi peraturan di Indonesia dan segera menyelesaikan komitmen pelaburan yang tertunda sebelum membentangkan tawaran baru,” kata Febri.

Dalam kenyataan itu, Febri juga menekankan bahawa Apple bukan satu-satunya syarikat teknologi besar yang melabur di Indonesia.

Kerajaan Indonesia sedang menilai sama ada pelaburan ini akan memberi impak positif yang signifikan kepada industri teknologi tempatan berbanding pelaburan syarikat pengeluar peranti lain seperti telefon pintar, komputer, dan tablet.

Penolakan tawaran ini, menurut Febri, adalah langkah yang selaras dengan visi pemerintah untuk memastikan semua pelaburan asing memberikan nilai tambah kepada ekonomi tempatan.