APMM Perak rampas 120 set bubu naga di Pulau Talang

APMM Perak rampas 120 set bubu naga di Pulau Talang

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas 120 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 2.2 hingga 2.9 batu nautika barat laut Pulau Talang di Segari, dekat sini awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, semua pukat yang diharamkan penggunaannya itu dikesan kira-kira pukul 3 pagi semalam.

“Semasa rondaan Op Benteng berhampiran Pulau Talang, bot Petir 80 telah mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan.

“Pemeriksaan di penemuan lokasi pertama mendapati, pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Seterusnya Petir 80 memeriksa setiap pelampung di lokasi-lokasi lain dan mendapati semuanya terdapat bubu-bubu naga dipasang di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, Kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Ujarnya, kesemua bubu naga yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM14,400 dengan anggaran RM120 seunit.

Shahrizan berkata, penggunaan alat peranti mengumpul ikan atau bubu naga itu dilihat berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.

Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Katanya, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus. – KO