Bermula 10 Oktober, pengguna perlukan MyDigital ID untuk log masuk aplikasi MyJPJ
Zaman sekarang ini, semua urusan boleh dilakukan secara atas talian tanpa perlu ke premis secara fizikal. Antaranya memperbaharui cukai jalan, lesen memandu, pasport dan sebagainya.
Salah satu aplikasi yang banyak digunakan oleh orang ramai sejajar dengan visi negara ke arah digitalisasi adalah aplikasi MyJPJ.
Namun bagi pengguna aplikasi MyJPJ, ada satu berita penting yang perlu diambil perhatian.
Menerusi pemerhatian di aplikasi MyJPJ, satu notifikasi memaparkan pengumuman tentang keperluan pengguna untuk mempunyai akaun MyDigital ID bagi tujuan log masuk ke dalam aplikasi berkenaan.
Dalam paparan tersebut, ia menjelaskan bahawa pembaharuan log masuk itu akan diwajibkan bermula 10 Oktober ini.
Mereka yang tidak mendaftar di MyDigital ID tidak akan boleh menggunakan aplikasi MyJPJ selepas tarikh tersebut.
“Log masuk tunggal menggunakan MyDigital ID akan dikuatkuasakan bermula 10 Oktober 2024. Sila laksanakan pendaftaran di aplikasi MyDigital ID dengan kadar segera untuk mengelakkan sebarang kesulitan log masuk,” tulis kenyataan dalam paparan di aplikasi MyJPJ.
Pengguna boleh turun aplikasi MyDigital ID di Apple App Store atau Google Play Store.
Semakan kami di aplikasi kerajaan yang lain antaranya MySejahtera mendapati notis sebegini belum ada dipaparkan buat makluman pengguna.
Namun, buat pengguna MySejahtera, ruangan log masuk kini mempunyai dua pilihan sama ada melog masuk menggunakan nombor telefon atau menggunakan MyDigital ID.
Untuk pengetahuan umum, MyDigital ID digunakan sebagai kaedah pengesahan bagi memudahkan semua perkhidmatan digital kerajaan dan memperkukuhkan keselamatan transaksi dalam talian.
Pada 1 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional dan menjadi individu pertama di Malaysia yang memiliki pengenalan digital itu.
Selain itu, penggunaan MyDigital ID pada portal kerajaan juga dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang diperakui keselamatannya oleh Pensijilan Kriteria Umum menerusi pengiktirafan EAL3+ di peringkat antarabangsa.
Memetik sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sistem yang sama ini turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Estonia, India, Kanada, Australia, United Kingdom dan lain-lain.
Antara transaksi yang boleh dilakukan oleh rakyat di negara yang menggunakan identiti digital ini adalah seperti:
- Membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank untuk membuktikan identiti.
- Melakukan konsultasi dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian melalui akses kepada rekod kesihatan.
- Melakukan transaksi penyewaan hartanah.
- Mengundi dalam talian.
- E-pembelajaran.